Saturday, 26 December 2020

Maka Bermulalah Perjalanan Hidup Seorang Perunding Hartanah....


....dan kisah perjalanan hidup ini diceritakan dalam bentuk Diari dalam blog ini dengan harapan agar coretan kisah hidup ini akan dapat memberi semangat berterusan kepada diri sendiri untuk BERJAYA dalam bidang ini..

Jom mulakan!



26 Dis 2020 : NCC

==============
Secara rasminya saya, Cikgu Amir, memulakan kerjaya dalam bidang hartanah ini pada hari ini. Ini kerana pada tarikh ini saya menghadiri kursus NCC (Negotiator Certification Course) selama 2 hari yang bakal melayakkan saya untuk memakai gelaran seorang REN (Real Estate Negotiator).

NCC adalah kursus wajib yang bakal memberikan saya REN TAG iaitu 'lesen awal' untuk menjalankan perniagaan sebagai perunding hartanah berdaftar (mulai sekarang saya akan sebut sebagai REN). 

Terlalu banyak yang saya pelajari semasa NCC. No wonder ini adalah kursus wajib untuk seorang REN kerana kandungan kursus ini sangat, sangat, sangat berharga!

Seterusnya, saya nak backdate sikit diari ini...



24 Dis 2020: WEBINAR - REN'S INCOME TAX

=====================================


Perjalanan hidup saya sebagai seorang REN sebenarnya bukannya bermula dengan NCC tetapi sebelum ini telahpun bermula dengan webinar iReal Academy di mana dua hari sebelum NCC, Principal iRealty iaitu Tuan Erman Taib telah sudi mengadakan webinar Zoom tentang bagaimana seorang REN perlu menguruskan pelaporan cukai pendapatannya. Saya dapati topik tersebut sangat menarik dan saya sertainya walaupun tidak wajib bagi saya. 

Dan itu satu tindakan yang bijak kerana saya dapat banyak tips berguna daripada Tuan Erman yang bagi saya sangat berilmu dan berkarisma. Saya menulis seberapa banyak nota yang boleh sepanjang sesi webinar dan bertekad untuk menggunakan semua ilmu dengan baik. 



17-18 Dis & 21-22 Dis 2020: NEW REN TRAINING

=======================================
Sebelum itu pula ada kursus dalaman di agensi saya. 



Seminggu sebelum NCC, agensi saya (IQI iRealty) telah mengadakan kursus New REN Training selama 4 hari secara online dari pagi sehingga ke petang. Ini adalah kursus wajib hadir jika saya ingin mendapatkan Agent's Starter Kit seperti business card dan lain-lain. 

Kebetulan saya tiada kelas online sepanjang 4 hari tersebut dan saya dapat fokus untuk belajar sebanyak mungkin. Sememangnya sangat banyak ilmu berharga yang telah saya pelajari semasa kursus tersebut. Saya boleh katakan bahawa kepala saya berasap sebaik sahaja tamat kursus 4 hari tersebut! 


15 NOV 2020: WHATSAP DARI RAKAN LAMA
======================================
Sewaktu saya sedang berkebun, tiba-tiba rakan lama saya, Tuan Bill Rohaizan menghantar mesej di WhatsApp. Beliau mengajak untuk mendaftar sebagai seorang ejen hartanah. Beliau kata now tengah ada offer. Hanya RM250 untuk mendaftar. Bayaran biasa mahal 2x ganda. 

Saya bersetuju.  

Tapi kenapa saya terus bersetuju? Mengapa saya tak kata 'nantilah aku fikir dulu'? 

Ceritanya ada di bawah ini....

Semuanya bermula dengan sebuah Zoom webinar yang saya anjurkan sebulan sebelum Bill Rohaizan mesej saya di WhatsApp.....



12 OKT 2020: WEBINAR - RAHSIA TUTOR BELI RUMAH
===============================================


 Tujuan webinar Zoom tersebut adalah sebagai perkongsian ilmu oleh salah seorang tutor dalam Tuition Teachers Society (TTS) yang telah berjaya membeli rumah pada tahun 2020 dengan hanya menggunakan kelayakan seorang tutor. Itu adalah satu pencapaian luarbiasa yang bagi saya perlu dikongsikan dengan rakan-rakan tutors lain yang rata-ratanya menghadapi kesukaran untuk mendapatkan personal loan pun, apatah lagi untuk dapat housing loan. 

Dalam webinar itu juga ada perkongsian daripada rakan saya, seorang ejen hartanah yang baharu sahaja memulakan perniagaan ini beberapa tahun yang lepas tapi kini telah berjaya mengumpulkan aset hampir RM1 Juta dan hampir setiap minggu beliau berjaya close sale. Selain kejayaan beliau tersebut, saya amat tersentuh dengan kata-kata semangat dan motivasi yang beliau berikan tentang sejarah hidup beliau semasa kecil yang susah (sama dengan sejarah saya), kemudian menceburkan diri dalam bidang tuisyen (sama dengan saya juga) dan bagaimana beliau boleh berjaya (saya harap sama dengan saya juga nanti). 

Maka pada hari itu saya telah mula memasang niat untuk mencuba bidang ini. 

Umpama orang mengantuk disorongkan bantal, saya terus menerima jemputan sahabat saya Bill Rohaizan untuk menjadi seorang REN. 

Sekian pembuka cerita dari saya..... 

......dan SELAMAT DATANG KE BLOG saya......Diari Seorang Perunding Hartanah


    Ikhlas,
    
Cikgu Amir Hartanah

p/s:
1) Saya harap anda dapat apa yang anda NAK sewaktu anda klik link kepada blog saya ini.
2) Saya mohon sekiranya anda rasa blog ini bermanfaat, klik butang follow dan kongsikanlah dengan rakan2 anda ya.
3) Sekiranya anda ada apa-apa komen, silakanlah....saya cuba membalas setiap komen...In shaa Allah. 



No comments:

Post a Comment

Panduan Untuk Self Employed Membeli Rumah

Adakah anda seseorang yang bekerja sendiri atau memiliki perniagaan tunggal ? Jika YA, bermakna anda tiada bos. Anda sendiri yang bayar gaji...